21 July 2009

Tarian tradisional sabah 2

TARIAN SUMAYAU

Tarian ini merupakan tarian asli suku kaum Dusun daripada daerah Tuaran dan juga dikenali sebagai Madsayau. Tarian Sumayau merupakan tarian khas bagi menyambut hari Mengaji atau dalam bahasa Dusun disebut Mengahau. Oleh yang demikian ianya tidak ditarikan dalam majlis-majlis bersukaria seperti menyambut hari keramaian dan sebagainya.

Persembahan tarian diketuai oleh seorang Monolian iaitu wanita yang telah lanjut usianya dan dalam pengetahuannya mengenai upacara-upacara tertentu. Ia harus juga dari keturunan Monolian.

Mengahau adalah suatu majlis yang diadakan besar-besaran dan mengambil masa hingga lima hari lima malam.Tujuannya adalah untuk mengaji gusi-gusi, (gusi-gusi ialah sejenis tampian besar) untuk menghormati atau memuja gusi-gusi itu, Di samping itu upacara sedemikian juga adalah untuk memperingati keluarga yang telah meninggal dunia iaitu seperti kenduri arwah yang lazim dilakukan oleh masyarakat Melayu Islam.

Sebaik sahaja muzik dimainkan penari-penari mulalah menari dan terus menuju ke ruang atau gelanggang tari. Gerakkan tangan penari-penari adalah mengikut irama lagu. Gerak kaki adalah perlahan jika dibandingkan dengan gerak tangan. Ia cuma bergerak berinsut-insut yang amat perlahan. Gerak tarian akan bertambah rancak sedikit apabila mendapat tepukan atau rangsangan daripada para penonton.

TARIAN MAGUNATIP

Ini merupakan sejenis tarian tradisi masyarakat suku kaum Murut dari suku Kuhijau (Kwijau). Magunatip berasal dari perkataan ‘apit' di yang bermakna jepit. Ia membawa maksud ketika menari kaki penari terjepit atau terapit di antara dua batang kayu (buluh) jikalau tidak cekap mengelakkannya. Biasanya tarian ini tidak memerlukan iringan muzik oleh kerana bunyi buluh itu yang dilagakan akan menimbulkan bunyi yang kuat serta rentak dan irama yang menarik.Tarian Magunatip bertujuan untuk memeriahkan sesuatu upacara yand diadakan.

TARIAN DALING-DALING

Tarian ini bukannya tarian asal suku kaum Bajau di Daerah Semporna, sebaliknya ia dibawa oleh orang-orang Suluk dari Kepulauan Mindanau. Pertumbuhan masyarakat Bajau dan Suluk yang sering mempengaruhi, maka hadirlah tarian ini sebagai milik masyarakat Bajau yang menetap di Semporna. Perkataan Daling-daling berasal daripada perkataan Inggeris darling yang bererti kekasih. Tarian ini adalah tarian hiburan di majlis-majlis tertentu yang sifatnya berbalas pantun di antara penari lelaki dan perempuan.

syazana sabah