14 July 2009

Tarian tradisional Sabah

TARIAN SUMAZAU

Tarian ini merupakan sejenis tarian tradisi rakyat Sabah yang amat terkenal di Sabah dan di seluruh Malaysia. Ia merupakan tarian tradisi suku kaum Kadazandusun. Tarian ritualnya memenuhi pelbagai fungsi seperti tarian sumazau yang ditarikan untuk mengucap kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi dan juga untuk menolak bala, menyemah semangat, dan mengubati penyakit. Gerak dan irama tari Sumazau adalah perlahan-lahan dan lemah lembut. Pasangan penari lelaki dan wanita menari berhadap hadapan dan mereka menggerak-gerakkan kaki dengan langkah kecil, sementara tumit kaki diangkat dan diturunkan mengikut irama lagu. Ketika menari tangan dikepakkan keluar, gerakannya turun naik seperti burung terbang. Biasanya Sumazau ditarikan semasa menyambut hari keramaian dan di majlis jamuan.

....Aramai tihhh....

TARIAN LIMBAI


Tarian ini adalah sejenis tarian asli masyarakat suku Bajau. Tarian Limbai ditarikan ketika menyambut ketibaan pengantin lelaki yang diarak ke rumah pengantin perempuan. Sebaik sahaja rombongan pengantin sampai, perarakan dihentikan sementara, lalu tarian Limbai dipersembahkan di hadapan pengantin. Ia merupakan upacara khas sebagai isyarat menjemput pengantin naik ke rumah untuk melakukan istiadat ijab qabul yakni pernikahan. Irama dan bahasa tarian mengiringi anggota-anggota rombongan pengantin naik ke rumah. Penari-penari melambai-lambaikan selendang mereka sebagai lambang mengundang dan mengucapkan selamat datang.

TARIAN ADAI-ADAI

Adai-adai pada mulanya merupakan nyanyian yang digunakan sebagai suara beramai pada sebuah pantun yang dinyanyikan. Tarian ini tidak menggunakan sebarang alat muzik ketika menyanyikannya. Bunyi yang mengiringi nyanyian adalah hentakan pengayuh di bahagian pinara sampan atau perahu yang didayung serta pukulan buyung atau keduit. Tarian ini dipersembahkan di majlis-majlis keramaian. Ia merupakan tarian masyarakat suku Berunai yang mendiami pekan Weston, Sabah.


syazana sabah